Perkara Asas Tentang Pinjaman Peribadi

Seperti yang ramai sudah mengetahuinya, pinjaman peribadi merupakan salah satu daripada banyak jenis pinjaman kewangan [1] yang anda boleh pohon daripada bank,  koperasi ataupun syarikat kewangan berdaftar mahupun yang tidak berdaftar dan selalunya mempunyai syarat dan kelayakan yang agak berbeza sedikit. Jikalau anda bercadang untuk memohon pinjaman peribadi, berikut adalah beberapa perkara asas yang anda perlu tahu sebelum menghantar permohonan anda.

1) Tanpa Cagaran – Anda perlu tahu yang pinjaman jenis ini tidak memerlukan anda menggunakan aset atau harta anda sebagai cagaran. Jadi, jika anda tidak dapat atau terlupa membuat bayaran balik pinjaman peribadi anda, pemberi pinjaman tidak boleh secara automatiknya mengambil harta anda sebagai bayaran balik baki pinjaman anda itu. Ini juga merupakan sebab utama mengapa pinjaman peribadi secara relatifnya lebih susah sedikit untuk mendapat kelulusan. Akan tetapi, pemberi pinjaman boleh mengambil tindakan yang lain termasuklah melaporkan pembayaran lewat kepada biro-biro kredit, mengupah agensi kutipan yang lain dan memfailkan tuntutan rasmi melalui sistem undang-undang terhadap anda juga.

2) Jumlah Pinjaman Yang Tetap - Jumlah pinjaman peribadi yang ditawarkan biasanya antara RM1,000 hingga RM300,000 bergantung kepada hasil penilaian kredit anda. Jika skor penilaian kredit anda baik, maka lebih bagus kerana lebih banyak wang yang anda boleh pinjam untuk pinjaman peribadi. Terdapat juga institusi kewangan yang mempunyai modal rendah menawarkan pinjaman seperti syarikat kewangan berdaftar dan anda mungkin hanya boleh meminjam wang degan jumlah yang lebih rendah seperti jumlah pinjaman maksimum RM10,000. Anda juga boleh memohon pinjaman yang lebih tinggi di sesebuah institusi kewangan yang mana anda sudah pun mempunyai pinjaman sedia ada di institusi yang sama ataupun dari institusi kewangan yang lain.

3) Kadar Faedah Ditetapkan – Secara umumnya, kadar faedah [2] untuk pinjaman peribadi adalah tidak berubah selepas dari tarikh pinjaman diluluskan jika tidak ada sebarang masalah berlaku sepanjang tempoh proses bayaran balik. Ini termasuklah perkara seperti jumlah pinjaman dan kadar faedah ke atas pinjaman peribadi berdasarkan penilaian kredit anda. Jika skor penilaian kredit anda lebih baik, maka anda akan menikmati kadar faedah yang lebih rendah. Kadar faedah yang lebih rendah adalah sangat menguntungkan anda kerana ini bermakna anda membayar balik kos yang lebih rendah bagi pinjaman yang dibuat. Walau bagaimana pun, ada sesetengah pinjaman peribadi yang ditawarkan mempunyai kadar faedah yang berubah-ubah dari masa ke semasa.

4) Tempoh Bayaran Balik Ditetapkan – Telah menjadi kebiasaan yang tempoh masa untuk membayar balik pinjaman peribadi dinyatakan dalam bulan. Sebagai contoh 12 bulan, 24 bulan, 60 bulan, 240 bulan dan seterusnya. Tempoh bayaran balik yang lebih panjang untuk pinjaman peribadi  mempunyai jumlah bayaran bulanan yang lebih rendah, tetapi ini juga bermakna yang anda membayar lebih banyak faedah berbanding jika anda membuat pembayaran balik dalam jangka yang lebih pendek atau singkat. Tetapi ini semua ditentukan oleh keupayaan kewangan anda dan juga skor penilaian kredit anda. Kadar faedah pinjaman juga boleh terikat dengan tempoh pembayaran balik pinjaman dan anda boleh mempunyai kadar faedah yang lebih rendah dengan tempoh pembayaran balik yang lebih pendek. Selain itu, mungkin ada penalti atau denda yang akan dikenakan jika anda menyelesaikan pinjaman anda lebih awal dari tempoh yang ditetapkan.
Antara kelebihan pinjaman peribadi ialah, jika anda memerlukan wang untuk menyelesaikan masalah kewangan seperti pendahuluan kereta, pendahuluan rumah, mengubahsuai rumah dan sebagainya tetapi anda tidak memiliki banyak simpanan wang, harta atau ekuiti, maka masalah-masalah tersebut boleh diatasi dengan memanfaatkan kemudahan pinjaman seperti ini. Selain itu, oleh kerana kebanyakan pakej pinjaman peribadi ditawarkan pada kadar faedah yang tetap, maka ini secara tidak langsung akan memaksa anda untuk mendisiplinkan diri dan menjelaskan pinjaman dalam jumlah dan jangka masa yang telah ditetapkan. Ia tidak seperti kad kredit, yang mana akan terus menggoda dan menggalakkan anda untuk berbelanja lebih dan sesuka hati. Dalam keadaan dan situasi yang terdesak, membuat pinjaman peribadi dengan bank atau institusi kewangan berdaftar masih merupakan pilihan yang terbaik. Sampai disini dulu untuk kali ini, jumpa anda di artikel seterusnya.